Sukarelawan YSS laksana aktiviti komuniti di Utara Sabah
LEE LAM THYE merakam gambar kenangan bersama siswa YSS dan wakil 10 keluarga tuan rumah sukarelawan di SK Gana, Kota Marudu. |
KOTA KINABALU : Seramai 100 ahli Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melaksanakan aktiviti komuniti bersama penduduk kampung di enam lokasi sasaran dekat daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat, di sini, bermula Jumaat lepas.
Pengerusi YSS Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aktiviti sukarelawan itu adalah lanjutan program sebelum ini di kawasan selatan, timur dan barat sejak penubuhan YSS.
"Manakala bagi tahun ini, kita telah memilih bahagian Utara pula untuk aktiviti sukarelawan di Sabah.
"Ini kerana kita berhasrat supaya masyarakat di sini juga (Bahagian Utara), akan menerima manfaat daripada YSS sama seperti di lokasi yang lain," katanya ketika berucap melancarkan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gana, Kota Marudu, di sini.
Majlis pelancaran itu turut diadakan secara serentak di enam lokasi yang lain yang mana sukarelawan YSS akan tinggal bersama masyarakat setempat yang terpilih.
Program itu secara langsung akan memberi peluang kepada sukarelawan menyelami cara hidup dan budaya masyarakat di Sabah.
Di samping itu, mereka juga akan melaksanakan aktiviti sukarelawan selama dua minggu di lokasi masing-masing.
Justeru, Lee berharap sukarelawan yang terlibat akan menjaga nama baik YSS, Kementerian Pendidikan dan Institusi masing-masing dengan menitikberatkan keselamatan, serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dalam bidang pendidikan.
"Gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui kepelbagaian latar belakang pendidikan masing-masing, selari konsep 'Pembelajaran Melalui Pengalaman'.
"Pembabitan siswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat membantu usaha melahirkan golongan pelajar yang progresif, dinamik dan berkeupayaan tinggi dalam menguruskan kepelbagaian serta berani menangani cabaran.
"Ini sejajar matlamat YSS bagi melahirkan sukarelawan siswa global dan menjadikan Malaysia hab sukarelawan. Sabah dan Sarawak adalah lokasi strategik untuk belajar mengenai integrasi yang mana rakyat kedua-dua negeri ini terdiri daripada pelbagai etnik, tetapi sentiasa hidup harmoni dan saling bersatu padu," katanya.
Terdahulu Misi ke Sabah adalah penutup untuk tahun ini sebelum diakhiri dengan penganjuran satu lagi aktiviti YSS iaitu Program Pembangunan Kepimpinan Sukarelawan (VLDP) pada 3 hingga 7 Disember depan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Sukimi Soyoh, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kota Marudu Tony Francis dan Guru Besar SK Gana Jasni Bining.
Sukarelawan YSS laksana aktiviti komuniti di Utara Sabah
Reviewed by Paparazzi
on
November 17, 2019
Rating: