Orang awam diminta bantu kenalpasti waris mangsa kemalangan maut


                                               Gambar seorang wanita 
                                 yang dijumpai dalam dompet mangsa 

LAHAD DATU: Polis menyeru orang awam membantu mengesan waris mangsa kes kemalangan maut yang mayatnya ditemukan di kawasan parit, tepi jalan Batu 6, Kampung Cocos, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata sehingga kini tiada waris mangsa yang tampil melaporkan kehilangan ahli keluarga malah identiti mangsa juga belum dikenal pasti.

“Sebelum ini kita ada memberitahu pihak media berkenaan sekeping gambar seorang wanita yang ada di dalam dompet mangsa namun individu itu masih belum tampil ke balai polis.

“Kita juga tidak dapat memastikan hubungan wanita itu dengan mangsa tapi yang pasti dia adalah orang yang penting kepada mangsa sebab itulah gambarnya ada di dalam dompetnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, polis mengesahkan mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala yang ditemui di kawasan parit, tepi jalan Batu 6, Jalan Utama Kampung Cocos, diklasifikasikan sebagai kes kemalangan jalan raya.

Ia susulan seorang lelaki yang disyaki melangggar mangsa berusia 54 tahun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah ini pukul 4.15 petang pada hari yang sama.

Difahamkan suspek memandu kenderaan jenis Toyota Rav4 sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke rumahnya di Kampung Cocos pukul 9.30 malam sebelum terlanggar mangsa.-SabahNewsToday



Orang awam diminta bantu kenalpasti waris mangsa kemalangan maut Orang awam diminta bantu kenalpasti waris mangsa kemalangan maut Reviewed by Paparazzi on October 09, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.