Penyelarasan Perlu Dipertingkat Laksana Pembangunan Luar Bandar Sabah: Ewon


Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu

KENINGAU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mahu jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini mempertingkatkan lagi kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan negeri berkenaan pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, ini penting untuk memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan itu benar-benar memberi manfaat dan menyelesaikan masalah rakyat luar bandar.

Jambatan gantung lama yang  sepatutnya dibaiki

“Pelaksanaan projek pembangunan luar bandar tanpa penyelarasan dengan kerajaan negeri seperti Pejabat Daerah dan pemimpin setempat akan menyebabkan projek tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

“Misalnya pembinaan jambatan gantung di sebuah kampung di Keningau. Saya menerima aduan dan melawat jambatan gantung berkenaan dan mendapati ia dibina di tempat yang tidak sepatutnya.

“Saya agak khuatir sebab ianya akan menyebabkan reaksi yang tidak baik dikalangan penduduk kampung kerana jambatan gantung lama yang sepatutnya perlu dibaiki itu tidak dibaiki, dan dibina pula sebuah jambatan gantung baharu di tempat lain yang tidak ada sungai,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Jabatan Persekutuan dan pada Mesyuarat Kabinet bahawa penyelarasan diantara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dengan pejabat-pejabat daerah ini perlu ditambah baik, malah diantara Kementerian Pembangunan Luar bandar Negeri dan Kementerian Persekutuan terdapat satu keperluan yang sangat mustahak berkaitan dengan penyelarasan ini.

“Pejabat Daerah mesti terlibat dengan apa juga proses untuk melaksanakan projek kecil, projek berskala sederhana dan projek berskala besar ini.

“Ketiadaan penyelarasan itulah yang menyebabkan projek-projek yang saya sebutkan, dilaksanakan seolah-olah melepaskan batuk ditangga, bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi mewujudkan satu masalah baharu yang kita kena jawab kepada rakyat.

“Ini yang saya nampak sendiri dan sampaikan kepada pihak yang terlibat dalam membuat keputusan, saya juga dapat kepastian bahawa Pejabat Daerah Keningau dan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) tidak terlibat dalam perolehan pelaksanaan projek ini dan disitulah wujudnya ataupun jelas untuk satu keperluan penyelarasan yang lebih baik demi kemudahan rakyat,” katanya.

Mengenai Mikro Mesej Liau Darat Keningau, Ewon berkata, KPLB Sabah dan Pejabat Daerah Keningau akan melaksanakan aktiviti ekonomi tambahan kepada para peserta di Mikro Mesej bagi menambah pendapatan para peserta, iaitu penanaman nenas. 

Ewon bersama peserta Mikro Mesej Liau Darat.

“Selain itu, saya juga mengarahkan Pejabat Daerah Keningau agar membantu para peserta Mikro Mesej di sini bagi mendapatkan kad pekebun kecil getah agar mereka menikmati harga yang lebih baik melalui program insentif pengeluaran getah dan skim bantuan lain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Pusat Keusahawanan Desa (PKD) seluas tiga ekar bersebelahan dengan kawasan Mikro Mesej, beliau mencadangkan agar pusat itu dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pemprosen produk berasaskan nanas dan halia. 

“Saya mencadangkan agar kawasan itu dibangunkan sepenuhnya untuk tanaman yang bersesuaian seperti nanas dan halia,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Keningau dan para pegawai KPLB Sabah.


Penyelarasan Perlu Dipertingkat Laksana Pembangunan Luar Bandar Sabah: Ewon Penyelarasan Perlu Dipertingkat Laksana Pembangunan Luar Bandar Sabah: Ewon Reviewed by Ziah M. on October 09, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.