Lantikan Amarjit sebagai pengarah langgar Enakmen Bekalan Air Sabah 2003



                                                Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Amarjit Singh adalah melanggar Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Hakim Ravinthran N.Paramaguru menyampaikan keputusan itu dan menjelaskan bahawa pelantikan terbabit melanggar Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Seksyen berkenaan menerangkan bahawa pelantikan pegawai untuk pengurusan air dalam menguatkuasakan enakmen terbabit perlu dibuat daripada kalangan penjawat awam.

Bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee dan seorang ahli perniagaan berasal dari Tawau Pang Thou Chung, memfailkan saman terhadap Amarjit dan Kerajaan Negeri Sabah masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Saman berkenaan didaftarkan di Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Mac, dalam mencari perisytiharan bahawa Seksyen 3 enakmen berkenaan memperuntukkan hanya penjawat awam layak dilantik untuk jawatan yang dimaksudkan.

Mereka juga mendakwa dalam saman terbabit, segala tindakan yang dilakukan Amarjit sejak pelantikannya Ogos 2018, menjejaskan bekalan air di Sabah dalam jangka masa pendek dan panjang.

Sebagai contoh, mereka menyatakan dua projek bekalan air di Tawau dan Lahad Datu dibatalkan secara mendadak pada hari sama Amarjit dilantik sebagai pengarah.

Selain itu, mereka mendakwa Amarjit tidak pernah menjadi seorang anggota perkhidmatan awam negeri, menjalani latihan, pembangunan profesional dan peperiksaan kerajaan seperti yang dikehendaki untuk lantikan seperti itu.-UtusanBorneo


Lantikan Amarjit sebagai pengarah langgar Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 Lantikan Amarjit sebagai pengarah langgar Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 Reviewed by Paparazzi on October 09, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.