MASALAH BEKALAN AIR DI BEBERAPA KAMPUNG BAKAL SELESAI?

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berusaha mengatasi masalah bekalan air di kawasan luar bandar dengan menggunakan pelbagai kaedah alternatif termasuk menggunakan sumber air bawah tanah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, beberapa kawasan luar bandar sememangnya berpotensi mempunyai sumber air bawah tanah yang boleh dijadikan sumber bekalan air bersih.


Sehubungan itu katanya, KPLB dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaksanakan kajian sumber air bawah tanah di kampung-kampung yang sering menghadapi masalah bekalan air.


“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, JMG telah membina sebuah telaga dan sistem penapisan  air bawah tanah di Kampung Piasau pada tahun lepas dan pada tahun ini, JMG membina telaga tiub di Kampung Gaur di bawah Projek Penilaian Rizab Air Tanah, Lembangan Kedamaian, Kota Belud. Telaga tiub ini digunakan sebagai telaga ujian dan pada masa yang sama boleh dimanfaatkan untuk kegunaan orang kampung.


“Semasa merasmikan telaga tiub air bawah tanah di Kg Piasau pada Jun lepas, saya telah meminta kepakaran JMG untuk membantu mengenalpasti sumber air bawah tanah di beberapa kampung lain di DUN Kadamaian yang menghadapi masalah bekalan air semasa musim kemarau, termasuklah Kg Gaur.


“JMG kemudiannya telah menjalankan kajian berkaitan dan syukur sekarang ini di Kg Gaur, melalui kajian yang dijalankan, terdapat sumber air bawah tanah yang boleh dibangunkan untuk kegunaan penduduk. Telaga tiub yang dibina mempunyai kedalaman 120 meter dalam batuan Formasi Crocker,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan kerja-kerja pembinaan telaga tiub di Kg Gaur, bersama Ketua Aktiviti Hidrogeologi JMG Sabah Jaineh Lingi, Ketua Daerah Kadamaian OKK, Jaintin Molondoi dan PPM Kadamaian Saikom Watis, pada Jumaat.




                     EWON (kiri) bersama Jaineh meninjau kerja-kerja pembinaan telaga tiub di Kg.Gaur.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau akan menggunakan sejumlah peruntukan daripada peruntukan Adun Kadamaian pada tahun hadapan untuk membina sistem penapisan air bawah tanah seperti yang disyorkan oleh JMG.


“Saya berharap ini akan dapat mengatasi masalah bekalan air di Kg Gaur pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua warga JMG yang telah membantu komuniti di sini,” katanya.


Sementara itu Jaineh berkata, pihak JMG Sabah mendapat banyak permohonan untuk membina telaga tiub tetapi memandangkan kos untuk eksplorasi dan pembangunan air bawah tanah agak tinggi maka hanya kawasan yang benar-benar memerlukan serta dikenal pasti mempunyai potensi air bawah tanah akan diberi keutamaan.


Katanya lagi, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh JMG, antara lokasi yang dikenalpasti mempunyai sumber air bawah tanah ialah di sekitar Bandar Sandakan, beberapa kawasan tertentu di Semporna, Tawau, Lahad Datu (kawasan Sahabat), Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Labuan.


“Manakala, kajian sumber air bawah tanah di beberapa tempat di Kudat, Bahagian Utara Pitas, sebahagian kawasan Sandakan, Lahad Datu, Nabawan didapati kurang potensi sumber air bawah tanah,” katanya.


Selain itu beliau berkata, bagi menentukan potensi dan kehadiran air bawah tanah, kajian awal pemetaan geologi di lapangan serta siasatan menggunakan beberapa jenis kaedah geofizik perlu dijalankan.


Hal ini kerana katanya, air bawah tanah sangat bergantung kepada keadaan geologi dan litologi batuan di sesuatu tempat, 



Oleh itu penentuan lokasi pembinaan telaga tiub memerlukan khidmat nasihat daripada pakar hidrogeologi bagi memastikan lokasi tersebut benar-benar mempunyai potensi serta sumber air bawah tanah yang boleh dibangunkan.
x


MASALAH BEKALAN AIR DI BEBERAPA KAMPUNG BAKAL SELESAI? MASALAH BEKALAN AIR DI BEBERAPA KAMPUNG BAKAL SELESAI? Reviewed by Paparazzi on October 07, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.