Status pembesaran LTAKK diketahui awal tahun depan

Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Sabah hanya akan mengetahui masa depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) setelah satu kajian selesai pada awal tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menjalankan satu kajian bagi meneliti semula Pelan Induk mengenai rancangan membesarkan LTAKK dan dijangka selesai tahun depan.

“Kajian itu telah bermula sejak Ogos lepas dan dijangkakan mengambil tempoh selama tujuh bulan untuk selesai pada suku pertama tahun depan manakala status sebenar untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) hanya akan diketahui setelah kajian penelitian semula rancangan pembesaran LTAKK selesai,” tambahnya.

Anthony berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau tentang status rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baharu.

Menurut Anthony, kerajaan pada ketika ini tidak mempunyai perancangan untuk membina LTAKK yang baharu kerana masih mengambil kira pelaburan sebanyak RM1.6 billion pada tahun 2006 yang telah dilaburkan oleh Kerajaan untuk menaiktaraf lapangan terbang tersebut.



Menteri Pengangkutan itu memaklumkan kerajaan pada ketika ini hanya mempunyai perancangan untuk menaiktaraf LTAKK sedia ada bagi meningkatkan lagi kapasiti sedia ada bagi menampung perkembangan industri penerbangan namun bagi melaksanakan projek naiktaraf itu, Kerajaan perlu membuat proses pengambilalihan tanah milik Kerajaan Negeri Sabah.


“Pada asalnya, berdasarkan Pelan Induk Lapangan Terbang 2008 (National Airport Masterplan), LTAKK di lokasi sedia ada boleh menampung kapasiti maksimum sehingga 18 juta penumpang (Million Passenger Per Annum) yang dijangka akan mencapai had kapasiti maksimum tersebut pada tahun 2031.

“Namun begitu, LTAKK sedia ada telah direka bentuk hanya untuk menampung pengendalian 9 juta penumpang setahun dan mengikut rekod setakat tahun 2018, jumlah penumpang yang telah dikendalikan di LTAKK telah mencapai sebanyak 8.6 juta penumpang bersamaan hampir 95% daripada kapasiti sedia ada,“ katanya.

Hal ini bermaksud LTAKK sememangnya memerlukan naiktaraf dalam masa terdekat kerana telah mencapai had kapasiti maksimumnya dua tahun lebih awal berbanding jangkaan yang diunjurkan oleh MAHB iaitu LTAKK hanya mencapai had kapasiti maksimum menjelang tahun 2021.

Sementara itu, Anthony memberitahu Kementeriannya telah menerima laporan hasil Kajian Pelan Induk untuk Hub Penerbangan Dan Logistik Fret Udara di Sabah yang dilaksanakan oleh Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) dan melalui dapatan kajian tersebut akan diambil kira bagi sebarang perancangan pembangunan LTAKK di masa hadapan, katanya.

Oleh : Janecarr Yado.
Status pembesaran LTAKK diketahui awal tahun depan Status pembesaran LTAKK diketahui awal tahun depan Reviewed by Paparazzi on October 11, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.