Beberapa kajian mengenai 'Monday Blues'


gambar hiasan

Perkongsian daripada Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin

" Anda merasa murung dan merengus setiap Isnin pagi?" 
‘Monday Blues’  atau Kemurungan Isnin merujuk kepada simptom tekanan mental yang dialami oleh mereka yang perlu pergi bekerja di pejabat, setelah menghabiskan hujung minggu bersantai atau pun beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Namun, adakah benar tekanan berpunca daripada permulaan hari bekerja, yakni Isnin? Atau sebaliknya?
Beberapa hasil kajian berkaitan Kemurungan Isnin:
-Kajian membuktikan bahawa penduduk di United Kingdom mula tersenyum seawal 11.16 pagi setiap hari Isnin!
-Separuh bilangan pekerja lewat tiba ke pejabat pada hari Isnin
-Kajian juga menunjukkan bahawa tempoh produktif seseorang pada hari Isnin ialah 3.5 jam sahaja.
-Kebanyakkan ‘mangsa’ terdiri daripada mereka berumur 45 hingga 54 tahun. Tempoh keluhan berpanjangan sehingga 12 minit!.

Kajian di atas dijalankan oleh syarikat pengeluar makanan, Marmite berdasarkan responden daripada United Kingdom pada tahun 2011 yang diterbitkan di Telegraph pada tahun 2011.
Beberapa kajian lain berkaitan Kemurungan Isnin:
Menurut Office for National Statistics UK, rekod kes bunuh diri tertinggi pada hari Isnin (12 kes). Kajian dijalankan berdasarkan bilangan kes bunuh diri pada 10 tahun terdahulu. Bilangan kes semakin menurun mengikut peningkatan hari (Ahad dengan purata 8.8 kes).
Kajian pada 2011 di Australia mendapati pelajar merupakan golongan utama terkesan daripada sindrom ini.

Namun, terdapat juga beberapa kajian yang mencadangkan bahawa kemurungan tidak wujud pada hari Isnin sahaja. Antaranya:
London School of Economics mendapati Selasa merupakan hari paling murung, berdasarkan pemantauan kepada 22,000 responden sepanjang tempoh dua bulan melalui aplikasi Mappines. Menurut mereka, Selasa ‘terletak’ pada puncak hari bekerja paling tinggi dan ‘jauh’ daripada hujung minggu, lantas menyebabkan orang ramai berada pada motivasi terendah pada hari tersebut
University of Sydney pula mencadangkan bahawa Rabu merupakan hari paling murung. Ini kerana beban kerja yang semakin meningkat dan juga hujung minggu masih ‘jauh’ daripada jangkauan mereka!

University Gothenburg pula mendapati Ahad merupakan hari yang paling azab untuk penduduk di Jerman! Ini berdasarkan pemerhatian bahawa aktiviti rehat pada Ahad semakin berkurang disebabkan oleh komitmen luar dan gaya hidup dunia moden. Ini menyumbang kepada kepenatan sebelum memulakan kerja pada hari Isnin.

Akhir sekali, terdapat kajian yang menyangkal andaian bahawa kemurungan bergantung kepada pembolehubah hari, seperti yang diterbitkan di Journal of Positive Psychology tahun 2012. Antara hujah-hujah utama:
-Kajian menunjukkan tiada perbezaan ketara untuk perubahan mood pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis
-Kajian menunjukkan berlaku peningkatan mood pada hari Jumaat, lantas menyokong pada kepercayaan popular – Thank God It’s Friday! (TGIF)
-Corak keputusan menunjukkan suasana lebih positif dan kurang elemen negatif pada hujung minggu, berbanding pada hari kerja. Corak ini semakin jelas dengan peningkatan umur dan dalam tempoh persaraan.
-Kajian dibuat berdasarkan maklumbalas 340,000 rakyat Amerika Syarikat berdasarkan perbualan telefon

Kesimpulan
Apa yang pasti ialah, jika anda mengalami kemurungan, jangan salahkan hari Isnin, Selasa, Rabu mahupun Ahad! Jangan pula menunggu hingga 11.16 pagi untuk melontarkan senyuman – mari kita mengurangkan statistik tersebut dengan menjadikan Isnin (dan juga hari-hari lain!) sebagai hari yang ceria untuk kita serta rakan sekerja.-Majalahsains
Beberapa kajian mengenai 'Monday Blues' Beberapa kajian mengenai 'Monday Blues' Reviewed by Paparazzi on October 13, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.