Bunuh gajah pygmy: lima dibebas dengan jaminan polis, seorang mengaku tidak bersalah

Tawau: Lima daripada enam suspek disyaki terbabit kes pembunuhan seekor gajah Pygmy yang ditemui di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini, baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini. 

Foto Hiasan

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata seorang lagi suspek disyaki pendatang asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Katanya lima orang yang dibebaskan dengan jaminan itu akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit.

Di Mahkamah Sesyen, seorang suspek Indonesia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pas atau permit sah masuk ke negara ini.

Tertuduh Osman Ghafar, 48, membuat pengakuan itu dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Felda Umas, Kalabakan, pukul 1.30 pagi, 2 Oktober lalu.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 6 (1)(c)Akta Imigresen 1963.

Amir Shah kemudian menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinahwaty Ag Kachee.

Tertuduh yang juga buruh kasar antara enam lelaki ditahan polis dalam Ops Khazanah pada 2 Oktober lalu, bagi membantu siasatan kes gajah ditemui mati dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan. 
Bunuh gajah pygmy: lima dibebas dengan jaminan polis, seorang mengaku tidak bersalah Bunuh gajah pygmy: lima dibebas dengan jaminan polis, seorang mengaku tidak bersalah Reviewed by Nas on October 08, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.