Penyiasat curi karang ditubuhkan

                                 Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar menubuhkan satu pasukan kerja khas bagi menyiasat aktiviti pengambilan batu karang hidup yang difahamkan berlaku di perairan Semporna.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, penubuhan pasukan itu bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan agar kegiatan sebegitu tidak akan berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata, walaupun kegiatan pengambilan batu karang itu dilaporkan berlaku di luar kawasan Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan namun, kegiatan itu menjejaskan ekosistem marin di perairan berkenaan.

" Oleh itu, saya telah mengarahkan Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar untuk memberi kerjasama kepada Jabatan Perikanan Negeri Sabah untuk menyiasat dengan terperinci perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Menurutnya, beliau memandang serius kegiatan pengambilan batu karang hidup itu.

“Perkara ini sama sekali tidak boleh dibiarkan berlaku secara berterusan dan berleluasa.

" Kegiatan sebegitu bukan sahaja merosakkan alam semulajadi, sekaligus menjejaskan sumber pendapatan nelayan dan pengusaha pelancongan. Ia juga akan merosakkan imej dan nama baik Negeri Sabah di mata dunia,” ujarnya.

Sejak Ahad, penyebaran gambar dan maklumat mengenai pengambilan batu karang hidup mula tular menerusi media sosial. Menurut edaran tersebut aktiviti pengambilan ini dikesan berlaku di perairan Semporna.-BorneoToday

Penyiasat curi karang ditubuhkan Penyiasat curi karang ditubuhkan Reviewed by Paparazzi on October 08, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.