' Mat Rempit ' dikenakan PKW
Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang pelajar kolej yang pernah terlibat dalam perlumbaan haram, diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini, melakukan khidmat masyarakat selama tiga bulan empat jam sehari.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah membuat keputusan itu terhadap Mohammad Azimin Simin, 22, setelah membenarkan rayuan atas hukuman oleh pihak pembelaan.
Beliau menyatakan penghakimannya itu berdasarkan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dan perayu haruslah melaporkan dirinya di Pejabat Parol di Jabatan Penjara.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret mengenakan penjara setahun dan denda RM5,000 atau penjara setahun selepas perayu mengaku salah menunggang motosikal dengan kelajuan melulu.
Atas kesalahan itu, perayu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penjara selama tempoh lima tahun atau denda antara RM5,000 hingga RM15,000, atau kedua-duanya.
Perayu juga dikenakan denda sebanyak RM7,000 atau penjara sebulan, atas kesalahan tidak mempunyai lesen didakwa mengikut Seksyen 26 (1) akta sama.
Sabit salah, denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan, atau kedua-duanya.
Kedua- dua kesalahan itu dilakukan pada 5 Ogos tahun lalu jam 2.50 pagi, di Jalan Papar-Kota Kinabalu, berhadapan sebuah restoran makanan segera.
Terdahulu peguam Faezah Abby Ibnu berhujah, anak guamnya melakukan kesalahan terbabit enam hari sebelum genap berumur 21 tahun dan merupakan pesalah pertama, selain tiada rekod jenayah.
Beliau memohon agar mahkamah membenarkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah dikenakan terhadap perayu untuk melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.
Iaitu perintah Kehadiran Wajib (PKW) kepada pesalah muda yang berumur 18 tahun ke atas dan 21 tahun ke bawah.
"Perayu masih muda dan seorang pelajar kolej. Jika melalui pemenjaraan akan memberi kesan kepada masa depannya dan gagal menamatkan pendidikannya," katanya.
Namun Timbalan Pendakwaraya Siti Amirah Muhammad Ali menegaskan, kesalahan yang dilakukan serius dan sering berlaku.
Tambahnya, perayu sudah berada di dalam penjara selama 14 hari sebelum rayuannya menangguhkan menjalani hukuman dibenarkan.
Beliau juga menyatakan, perayu cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa ketika ditahan dan mahkamah harus mengutamakan kepentingan awam.-UtusanBorneo
' Mat Rempit ' dikenakan PKW
Reviewed by Paparazzi
on
October 08, 2019
Rating: