OKU wajar dapat hak sosial

Japlin menyampaikan cenderamata kepada moderator.


KOTA BELUD:  Orang kelainan upaya (OKU) wajar mendapat hak dalam komuniti sosial sama seperti orang bukan OKU, namun kesedaran untuk menyedari akan hak OKU dilihat masih tidak begitu menyeluruh dalam kalangan masyarakat kita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Japlin Akim berkata unsur kasih sayang hendaklah disemai dalam diri anak-anak kecil supaya mereka tidak berasa takut atau terancam apabila mendekati OKU.

Katanya, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dalam menerangkan kepada anak-anak mereka tentang OKU dan menaman sifat kasih sayang serta menghormati sesama masyarakat tanpa mengira perbezaan dan kekurangan yang dimiliki oleh orang lain.

“Apabila kesedaran berkaitan menghormati dan menyedari hak golongan OKU disemai dalam diri anak-anak sejak kecil, sudah tentu mereka akan memahami dan melahirkan generasi baharu yang peka akan keperluan serta hak golongan OKU dalam komuniti masyarakat secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) peringkat daerah Kota Belud di SMk Arshad Kota Belud kelmarin.

 Program tersebut dianjurkan oleh Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa, PPKI SMK Arshad dan Pejabat Pendidikan daerah Kota Belud.

Menurut Japlin, dalam memupuk kesedaran berkaitan kepentingan untuk menghormati dan memberi hak warga OKU dalam kalangan anak-anak, pendidikan awal berkaitan nilai etika perlu diterapkan.

“Golongan OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

“Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU,” ujar beliau lagi.- NZS



OKU wajar dapat hak sosial OKU wajar dapat hak sosial Reviewed by Paparazzi on October 22, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.