13 tahun penjara, 2 sebat akibat rogol adik sepupu


Gambar hiasan


KOTA KINABALU: Akibat pengaruh dadah sehingga tidak lagi mampu mengawal diri, seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 13 tahun dan dua sebat disebabkan merogol adik sepupunya.

Tertuduh berusia 28 tahun itu dijatuhkan hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang bekerja di kafe siber itu merogol mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan, pada 25 Julai 2017 jam 3.42 petang di sebuah taman perumahan, Manggatal di sini.

Untuk itu, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu  penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama mangsa berada di rumah berdua-duaan sahaja dan kemudian tertuduh masuk ke dalam bilik mangsa yang berada di tingkat bawah.

Sejurus itu, tertuduh merogol mangsa dan kemudian memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

Mangsa yang ketakutan itu seterusnya memberitahu kejadian itu kepada kakaknya kerana malu kepada ayahnya.

Kakak mangsa kemudian menceritakan kejadian berkenaan kepada abang dan ayah mereka, dan kemudian membawa mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

Ketika rayuan, tertuduh menyatakan kekesalan dan insaf akan kesalahan yang dilakukannya dan ingin berubah menjadi lebih baik.

Selain itu, tertuduh juga menambah bahawa dia perlu menanggung ibunya yang tengah sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menyatakan, pengakuan salah itu tidak melayakkan tertuduh diberikan hukuman ringan.

Megat memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam supaya dipenjara bermula dari tarikh sabitan.

13 tahun penjara, 2 sebat akibat rogol adik sepupu 13 tahun penjara, 2 sebat akibat rogol adik sepupu Reviewed by Paparazzi on October 22, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.