Rakyat Tenom diingatkan tidak terpengaruh ideologi bawa Sabah keluar Malaysia


Datuk Rubin Balang


TENOM: Rakyat di kawasan Tenom diingatkan agar tidak terpengaruh oleh ideologi pihak-pihak tertentu yang kononnya akan membawa Sabah keluar dari Malaysia.


Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tenom, Datuk Rubin Balang berkata pihak berkenaan sengaja meniupkan sentimen negatif itu semata-mata mahu mempengaruhi dan mengelirukan rakyat.


"Matlamat pihak berkenaan ialah mahu rakyat berpecah belah dan keliru. Justeru rakyat di kawasan Tenom jangan mudah terpengaruh oleh ideologi negatif ini.


"Sabah dan Sarawak adalah rakan sekutu dalam persekutuan Malaysia. Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mana Bersatu adalah parti komponennya sentiasa berusaha membangunkan negeri ini ternasuklah di kawasan luar bandar.


"Selain itu dibawah Persekutuan Malaysia, rakyat Sabah juga dapat hidup dalam suasana yang aman, damai, sejahtera dan selamat", katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis jelajah akhir 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bersatu Bahagian Tenom di Dewan SJKC Yuk Nam Paal pada Selasa.


Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad telah menegaskan, kerajaan persekutuan masih meneruskan usaha mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63.


Justeru katanya, rakyat perlu terus memberikan sokongan padu kepada Tun Dr. Mahathir dan PH yang menerajui Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd.Shafie Apdal untuk membangunkan Sabah dan sosio ekonomi rakyat di luar bandar.


Rubin yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong juga meminta Parti Warisan Kemabong agar tidak memberi tekanan kepada pemimpin masyarakat khususnya MPKK dan Ketua Kampung (KK) agar menyertai parti itu.


"Mereka yang telah menyertai parti dalam komponen PH mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu meneruskan pembangunan kepada rakyat", tegasnya.


Rubin merakamkan terima kasih Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Peter Anthony kerana menghentikan aktiviti pembalakan di.kawasan sungai Mukim Rundum, iaitu tanah adat yang dimiliiki oleh penduduk asal kawasan itu.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tenom, Puan Norita Sual kerana telah menghalang pihak luar daripada memohon tanah di Mukim Rundum dan sebaliknya memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dari kawasan itu.


Katanya,  rakyat di Tenom juga perlu melupakan persengketaan yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum  (PRU) ke 14 lalu, sebaliknya terus memupuk persefahaman dan perpaduan demi kestabilan dan keharmonian.


"Rakyat perlu memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha membangun rakyat jelata", tambahnya.

Rakyat Tenom diingatkan tidak terpengaruh ideologi bawa Sabah keluar Malaysia Rakyat Tenom diingatkan tidak terpengaruh ideologi  bawa Sabah keluar Malaysia Reviewed by Paparazzi on October 23, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.