20 agensi Kerajaan Negeri terima Anugerah Penarafan 5 bintang SM2




PENGURUS Sumber Manusia yang hadir merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada persidangan siri kedua yang berlangsung di salah sebuah hotel dekat sini.


SEBANYAK 20 agensi di bawah Kerajaan Negeri menerima Anugerah Penarafan 5 Bintang atas pencapaian cemerlang dalam pengurusan Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) sepanjang tahun ini.
Agensi yang terpilih terdiri daripada pejabat daerah, jabatan dan kementerian, yang menunjukkan prestasi membanggakan mengikut tiga kriteria utama iaitu data penjawatan, maklumat penjawatan dan data prestasi.
Anugerah disampaikan oleh Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai mengikut kategori kluster satu hingga enam.
Kategori Kluster pertama iaitu dengan saiz penjawatan 1,000 dan ke atas , diberikan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur.


ROSMADI (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Star Rating SM2 bagi kategori Kluster 1 kepada Jabatan Tanah dan Ukur yang diwakili oleh  Pengarahnya Liew Chau Min Bernard (tiga,kiri).


Kategori Kluster Kedua pula dengan saiz penjawatan 500 dan ke 999 diberikan  kepada Jabatan Perkhidmatan  Veterinar Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Jabatan Cetak Kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Muzium Sabah dan Jabatan Perikanan pula memenangi kategori Kluster Ketiga iaitu saiz penjawatan 100 ke 499 orang.
Manakala, Kluster Keempat dengan saiz penjawatan 100 ke bawah dimenangi oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan (Pentadbiran), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, dan Institut Latihan Sektor Awam Negeri.


ROSMADI (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Star Rating SM2 bagi kategori Kluster 4 kepada  Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran)  yang diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Hanafiah Mohd Kassim (tengah).


Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur pula dipilih sebagai penerima Anugerah kategori Kluster Kelima iaitu bagi semua kementerian.
Seterusnya, Kategori Kluster Keenam melibatkan semua pejabat daerah dimenangi oleh Pejabat Daerah Kecil Tungku, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Pejabat Daerah Kudat, dan Pejabat Daerah Kinabatangan.
Sementara itu, Rosmadi memaklumkan bahawa penyampaian anugerah ini adalah sebagai tanda menghargai komitmen semua Pengurus Sumber Manusia (PSM) yang  menjadi nadi bagi setiap organisasi masing-masing.

ROSMADI (kanan) menyampaikan Anugerah Star Rating SM2 bagi kategori Kluster 5 kepada Janet (tengah) yang mewakili Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat

“ Pengiktirafan ini adalah atas usaha murni mereka (PSM) yang bertungkus lumus dalam mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Sistem Maklumat Sumber Manusia.
“Harapan kita supaya penganugerahan seumpama ini akan diteruskan dan tambah baik bagi membolehkan mereka merasa dihargai dalam usaha-usaha pemantapan organisasi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persidangan Pengurus Sumber Manusia Siri 2/2019, di salah sebuah hotel dekat sini, pada Jumaat.
ROSMADI (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Star Rating SM2 bagi kategori Kluster 6 kepada Pejabat Daerah Kudat yang diwakili oleh Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim. 

Sehubungan itu, semua PSM diminta supaya melipat ganda usaha bagi memastikan organisasi masing-masing dapat menunjukkan kecekapan perkhidmatan yang berterusan, dan bukan bermotifkan pertandingan semata-mata.
Semasa menyampaikan amanat, Rosmadi juga mewajibkan semua PSM supaya menjadi peneraju dalam melaksanakan budaya menyantuni pelanggan.
Katanya, selaku PSM, mereka perlu menyebar mesej dan amalan berkhidmat dengan senyuman di agensi masing-masing, selain sentiasa berfikir 24 jam, 7 hari sebagai penjawat awam.
“PSM juga perlu melazimi turun padang untuk mendengar masalah yang dihadapi rakyat dan seterusnya proaktif dalam mencari jalan penyelesaian.
“Persekitaran kerja yang seronok juga perlu diwujudkan, selain memberi layanan mesra dan professional kepada semua pelanggan tanpa mengira agama, bangsa, darjat dan pangkat,”katanya.
Selain itu, beliau mengajak semua penjawat awam supaya sama-sama merealisasikan agenda Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong yang mahu menjadikan Perkhidmatan Awam Negeri sebagai pemangkin pendigitalan sepenuhnya pada tahun depan.
Katanya, pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya hendaklah bermula sekarang dan dijangka sekurang-kurangnya bermula daripada peringkat kementerian menjelang tahun 2020.
“Kita di JPAN juga sudah memulakan transformasi iaitu daripada konsep listing mode kepada analytical in real time dan semua aplikasi ini kita akan laksanakan… jadi saya minta semua PSM untuk turut serta menjayakan wawasan ini,” jelasnya.
Turut berlangsung semasa persidangan PSM kali kedua itu adalah pelancaran  Sistem E-Tukar 2020 yang akan dilaksanakan sepenuhnya mulai Januari tahun depan, dan diikuti Kempen Berkhidmat dengan Senyuman “Satu Senyuman Seribu Perubahan” yang diinspirasikan oleh Rosmadi sendiri.
Turut hadir adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur Dr Ismail Simon Charles, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Janet Chee Ken Liam, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JPANS Mohamad Osup serta Timbalan Pengarah Pembangunan Josie Lai Mei Sing, dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan merangkap Penyelaras Program Junaidah Abdul Hamid.

20 agensi Kerajaan Negeri terima Anugerah Penarafan 5 bintang SM2 20 agensi Kerajaan Negeri terima Anugerah Penarafan 5 bintang SM2 Reviewed by Paparazzi on December 10, 2019 Rating: 5
Powered by Blogger.